DOA
SI-SEPET YANG MAKBUL
Satu
ketika di zaman seorang Khalifah berlaku kegawatan ekonomi yang meruncing.
Keadaan menjadi semakin gawat apabila tumbuhan tidak menjadi. Hujan sudah tidak
turun selama beberapa bulan. Pemerintah mencanangkan agar semua rakyat
turun ke padang untuk solat istisqa' dan berdoa agar Allah menurunkan
hujan. Namun hujan tidak turun juga. Khalifah menjemput ramai ustaz, tok
guru dan para abid yang berpengaruh serta mempunyai ikutan yang ramai, untuk
bersama-sama berdoa kepada Allah; tetapi keadaan masih tidak berubah.
Khalifah
menjadi semakin khuatir apabila kemarau kian berpanjangan. Baginda berusaha
mencari orang yang mustajab doanya untuk tampil ke depan bagi mengimami solat
pinta hujan. Akhirnya tampil seorang lelaki yang kelihatan selekeh dengan
pakaian yang comot dan rambut yang kusut berjumpa Khalifah. "Ya
khalifah! Saya datang untuk menyahut seruan tuanku." Khalifah macam tak
begitu yakin melihat pemuda yang comot itu. "Benarkah kamu ini? Sedangkan
ramai para ulamak dan abid yang terkenal tidak dimakbulkan Allah doanya, inikan
pula kamu yang begini?". Pemuda itu menjawab, "Insyallah doa kita
akan dikabulkan!".
Pemuda
itu terus mengimami sembahyang bersama rakyat dan berdoa. Belum pun habis
doanya, dengan tidak diduga hujan turun mencurah-curah dengan lebat.
Khalifah segera bertanya, "Wahai pemuda, cuba kamu ceritakan kepada beta
apa amalan kamu sehingga doamu diperkenankan Allah." Pemuda itu
menceritakan "Pernah semasa muda dulu, saya begitu asyik melihat wajah
seorang gadis ayu. Saya terpesona dengan kecantikannya sehingga saya terlalai
dari mematuhi perintah Allah. Saya menyesal atas kejahatan saya itu dan
merobek-robek muka saya hingga tanpa disedari biji mata saya terkeluar dari
rongganya. Sebab itulah mata saya menjadi sepet. Saya bertaubat dari
kejahatan itu dan terus mengabdikan diri kepada Allah." Khalifah
mengucapkan terima kasih dan terus sujud syukur kepada Allah.
MORAL & IKTIBAR
- Allah menurunkan bala sebagai peringatan kepada hamba-hambanya atas dosa yang dilakukan.
- Kehendak Allah mengatasi segala.
- Allah menyayangi orang yang bertaubat sehingga apa saja doanya dikabulkan Allah.
- Allah sayang kepada seseorang bukan kerana rupa dan sifat lahiriahnya, tetapi kerana sifat ubudiah dan ketaqwaannya.
- Untuk mengatasi apa jua masalah yang menimpa, Allah menganjurkan kita supaya kembali kepadaNya.
- Jangan memandang orang dari sifat lahiriahnya tetapi lihat dari segi amalan dan ketaqwaanya kepada Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan