"Suatu hari seorang ayah telah memanggil anaknya yang
baru pulang ke kampung untuk berhari raya. Selama ini sang ayah tidak percaya
dengan khabar angin yang mengatakan anaknya telah murtad dengan memeluk agama
Nasrani justeru setiap kali Hari Raya dia akan pulang ke kampung menyambutnya
bersama keluarga.
Cuma setiap kali waktu sembahyang, anak lelakinya itru akan
menghilangkan diri yang disangka oleh si ayah pergi ke surau atau masjid di
pekan berhampiran. Ketika solat Hari Raya juga begitu.. Oleh kerana itu tidak
timbul sebarang rasa syak pada diri si ayah akan perubahan aqidah anaknya itu.
Sehinggalah apabila muncul dengan hebatnya kisah-kisah orang Melayu yang
murtad, sementelahan pula sering diasak oleh khabar-khabar angin yang bertiup
kencang umpama puting beliung, si ayah tergerak untuk bertanya sendiri dengan
anaknya. Sang ayah percaya, anaknya akan bercakap benar kepadanya kerana itulah
yang diajar selama ini.
Sebaik sang anak melayarkan punggungnya di atas sofa empuk di
ruang tamu, si ayah mula membuka tutur bicaranya, " Nak, ayah tahu selama
ini tidak ada ahli keluarga kita yang pernah dilatih untuk berbohong, bercakap
bohong atau tidak jujur sesama kita." Si anak mula gelisah melihat mata
ayahnya yang berkaca merenung tepat ke arah matanya yang berselindung di
sebalik lapisan kaca mata.
" Pada pagi ini secara jujur ayah ingin mengetahui
kebenaran. Tidak ada lain melainkan kebenaran yang sejujur-jujurnya,
"sambung si ayah sambil tangannya pantas memutarkan biji tasbih. Menahan
perasaan mungkin.
Si anak menundukkan kepalanya merenung lantai. Tidak berani
menatang wajah seorang ayah yang sangat difahami akan perangai dan ketegasannya
sejak dari lahir lagi. Benak fikirannya pantas meneka apakah soalan yang bakal
menerjahnya hari itu.
" Benarkah seperti apa yang ayah dengar, bahawa kau
telah meninggalkan agama Islam yang suci untuk mengikut agama Nasrani ? Ayah
mahukan kebenaran. Jika ia kebenaran, ayah pun akan turut serta dengan
kebenaran itu...."
Tersentak si anak mendengar bait-bait kata ayahnya. Serba
salah untuk menjawab pertanyaan itu. Dia tidak pernah diajar berbohong. Lagipun
kata-kata ayahnya mahukan " kebenaran" mengundang seribu makna yang
tidak dapat ditafsirkan. Mungkin ini saatnya untuk dia menyerlahkan kebenaran.
Kebenaran tentang dirinya, tentang anutannya. Dengan suara perlahan, agak
gementar, terketar, dia menjawab." Ya Ayah. Saya minta maaf. Tetapi saya
telah menemui kebenaran... ."
Sang ayah hanya tersenyum. Tasbih di tangannya menjadi
perlahan. Sang pemuda semakin bingung. Masakan seorang ayah yang sangat kuat
pegangan agamanya tidak menjadi marah setelah mengetahui kebenaran ? Sambil
tersenyum si ayah bertanya lagi," Nak. Ceritakan kenapa engkau jadi begini
? "
Dengan suara yang kembali normal, si anak bercerita tentang
pengalamannya semasa berkhemah di hutan Belum satu ketika dahulu dan dia telah
tersesat selama hampir satu minggu. Semasa tersesat, setiap kali selepas solat,
dia telah berdoa agar ditunjukkan jalan keluar. Sehinggalah pada hari keenam
dia hampir berasa putus asa.Tiba-tiba muncul satu cahaya dari langit, dan
seorang lelaki berdiri di hadapannya. Sambil tangan kanannya memegang tongkat,
tangan kirinya memimpin pemuda tersebut menuju jalan keluar. Dia selamat, dan
lelaki berjubah itu lenyap." Ayah tahu siapa lelaki itu ? " tanya
pemuda itu kepada ayahnya. Sang ayah menggelengkan kepala, perlahan." Dia
Jesus Christ, ayah. "
Suasana hening seketika." Mana engkau tahu dia itu
Jesus Christ ? Kau ada bertanya kepadanya ?" Si ayah memecah
suasana." Tidak, kami tidak berbicara sepatah pun. Saya tahu dia itu Jesus
Christ kerana rupanya serupa dengan gambar-gambar Jesus Christ yang pernah saya
lihat. Lagipun tongkat yang dipegangnya berupa salib, ayah."
Si ayah tersenyum lebar. Si pemuda semakin keliru. Mungkin
ayahnya telah menemui " kebenaran ".Inilah peluang dakwah untuk ayah,
kemudian ahli keluarga yang lain.
" Lantas, kau telah temui kebenaran ? Dan kau menjadi
Nasrani ? " Tanya si ayah dengan senyuman yang tidak pernah lekang."
Ya, saya yakin akan kebenaran Jesus Christ...., juru
selamat manusia akhir zaman ....."" Anak, anak.
Sebenarnya kau tersesat.... "
Sang anak terkedu seketika. Kalau dia tersesat kenapa
ayahnya tidak melenting seperti mana ketika dia tidak solat semasa darjah tiga
dahulu. Habis balar-balar badannya disebat kerana dia tidak sembahyang. Tapi,
kini....." Nak, ayah juga bernah ketemu dan diselamatkan oleh Jesus Christ
ketika ayah terumbang-ambing semasa di lautan dahulu.." sambung si ayah
yang pernah menjadi nelayan ketika mudanya. Si ayah menghela nafasnya panjang.
Si anak semakin teruja untuk mendengar." Ayah berada di lautan selama dua
belas hari dan tidak putus-putus berdoa agar selamat. Pada hari terakhir ayah
juga hampir putus asa dan hanya berserah kepada siapa sahaja yang bakal
menyelamatkan ayah......"
Ayah berhenti seketika. Merenung jauh seakan mahu mengingati
peristiwa lampau itu. Kemudian menyambung, " Tiba-tiba datang satu cahaya
dari langit, muncul pula ikan lumba-lumba di keliling perahu ayah. Satu lembaga
manusia memegang tongkat berbentuk salib berada betul-betul di hadapan ayah
sambil tersenyum. Dia telah mengarahkan ikan lumba-lumba seakan menunda perahu
ayah hingga ke pesisir pantai kampung kita."
Si anak semakin teruja mendengarnya. Si ayah menyambung
lagi, *" Apabila ayah sudah pasti akan selamat, ayah memberanikan diri
memberikan salam kepada lelaki itu dan dia telah menjawab salam ayah. Ayah
bertanya, siapakah gerangan dia itu. Dia tidak menjawab, cuma tersenyum sambil
mengatakan, dia adalah juru selamat manusia yang akan membantu seorang pemimpin
membunuh pemimpin kejahatan. Kemudian dia hilang."*
" Kemudian ayah terlihat gambarnya di rumah jiran kita
Michael Wong, sebiji seperti orang yang ayah temui atas perahu. Ayah bertanya
kepada Michael Wong siapakah yang ada pada gambar itu, lalu dikataklan itulah
Jesus Christ, penyelamat manusia. Ternyata ayah telah menemui kebenaran...
"
Si anak tidak sabar-sabar bertanya kepada ayahnya, "
kalau begitu kenapa ayah masih Islam ? " Si ayah tidak terus menjawab,
sebaliknya ketawa kacil yang panjang.
" Kerana Jesus Christ itu Islam dan dia akan turun satu
masa nanti untuk menyelamatkan manusia serta membantu seorang pemimpin iaitu
Imam Mahdi membunuh Dajal pemimpin kejahatan. Bukankah hal itu telah banyak
Nabi Muhammad beritahu dalam hadis-hadisnya. Kerana itu ayah tetap Islam
justeru Jesus Christ telah menjawab salam ayah secara Islam."Sang anak
terpinga-pinga semakin keliru agaknya. Sang ayah tersenyum sambil menepuk-nepuk
bahu anaknya, " Engkau silap kerana tidak bertanya sendiri kepada Jesus
Christ yang engkau temui dalam satu saat dan peluang yang tidak pernah orang
lain dapati, sebaliknya engkau membuat andaian sendiri bahawa Jesus Christ itu
adalah kebenaran Nasrani. Tidak ! Jesus Christ aadalah kebenaran tentang
Islam....." sambil si ayah meninggalkan anaknya tersandar di kerusi......
......... ......."
—
Tiada ulasan:
Catat Ulasan