PERBALAHAN
MALAIKAT RAHMAT DAN MALAIKAT AZAB
Pada
zaman dulu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Dia ingin
menjumpai pendita untuk meminta fatwa supaya dia dapat bertaubat dari dosanya.
Sebaik saja berjumpa, dia pun menerangkan bahawa dia telah membunuh 99 orang
dan bertanya sama ada dia masih ada peluang untuk bertaubat. Pendita dengan
tegas mengatakan dia tidak boleh bertaubat kerana dosanya terlalu banyak.
Lelaki itu mejadi marah dan terus membunuh pendita itu, menjadikannya mangsa
yang ke-100.
Dia
masih ingin untuk bertaubat dan terus mencari kalau-kalau ada ulama yang boleh
membantunya. Akhirnya dia berjumpa dengan seorang ulama. Dia menceritakan
bahawa dia telah membunuh 100 orang dan bertanya sama ada Allah masih menerima
taubatnya. Ulama itu menerangkan dia masih ada harapan untuk bertaubat.
Seterusnya dia menyuruh lelaki itu pergi ke sebuah negeri di mana terdapat
sekumpulan abid (orang beribadat). Apabila sampai di sana nanti, ulama itu
menyuruhnya tinggal di sana dan beribadat bersama mereka. Ulama itu melarangnya
pulang ke negeri asalnya yang penuh dengan maksiat.
Lelaki
itu mengucapkan terima kasih lalu terus menghala ke negeri yang diterangkan
oleh ulama tadi. Sebaik saja sampai separuh perjalanan, dia jatuh sakit lalu
meninggal dunia.
Ketika
itu terjadilah perbalahan antara dua malaikat, iaitu Malaikat Rahmat dan
Malaikat Azab. Malaikat Rahmat ingin mengambil roh lelaki itu kerana pada
pendapatnya dia adalah orang baik lantaran azamnya untuk bertaubat sementara
Malaikat Azab mengatakan dia mati dalam su'ul-khatimah kerana dia telah
membunuh 100 orang dan masih belum membuat sebarang kebajikan. Mereka saling
berebutan dan tidak dapat memutuskan keadaan lelaki itu.
Allah
kemudian menghantar seorang malaikat lain berupa manusia untuk mengadili
perbalahan mereka berdua. Dia menyuruh malaikat itu mengukur jarak tempat
kejadian itu dengan kedua-dua tempat; adakah tempat kejadian itu lebih dekat
dengan tempat kebajikan yang hendak dituju atau lebih dekat dengan tempat dia
mula bertolak. Sekiranya jaraknya lebih dekat dengan tempat kebajikan, dia
kepunyaan Malaikat Rahmat. Setelah diukur, didapati jarak ke negeri kebajikan
melebihi kadar sejengkal saja. Lalu roh lelaki itu terus diambil oleh Malaikat
Rahmat. Lelaki itu akhirnya mendapat pengampunan Allah.
MORAL & IKTIBAR
MORAL & IKTIBAR
- Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani
- Orang yang berbuat dosa hendaklah diiringi dengan penyesalan dan taubat.
- Jangan merasa putus asa dari rahmat Allah meskipun telah melakukan dosa yang sangat banyak kerana rahmat Allah sangat luas dan lebih besar daripada dosa besar yang kita lakukan.
- Menjalankan amar makruf dan nahi mungkar hendaklah dengan hikmah dan bijaksana.
- Fatwa yang salah dan tidak berlandaskan hukum sebenar hanya menyusahkan diri sendiri
- Pelepasan dari azab diperolehi hanya dengan berlebihnya timbangan kebajikan meskipun dengar kadar yang sedikit.
- Orang yang hendak bertaubat mesti buktikan penyesalan dengan tindak-ikut yang sewajarnya.
- Orang yang bertaubat dengan sungguh-sungguh penyesalan dan berikrar tidak mengulangi kejahatannya akan diterima oleh Allah taubatnya.
- Mereka yang diterima oleh Allah akan taubatnya seolah-olah tidak mempunyai sebarang dosa.
- Mereka yang sempat bertaubat 'nasuha' sebelum roh sampai ke khalqum dimasukkan ke dalam syurga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan