Anwar mahu selesai isu penipuan p'raya dulu
5:02PM Mei 6 2013
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menimbangkan mengenai persaraannya daripada politik selepas menyelesaikan isu penipuan dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya umum ke-13.
Katanya, beliau memutuskan demikian kerana beranggapan bahawa
perjalanan pilihan raya kali ini telah "dicuri" daripada rakyat melalui
proses penipuan.
"Pendirian saya sama. Saya ada mendapat
tawaran untuk mengajar di beberapa universiti utama. Saya masih fikir.
Tapi saya nak selesaikan penipuan ini. (Ia) belum selesai. Saya dah
menang. Pilihan raya ini sudah dimenangi oleh Pakatan Rakyat.
"Saya rasa apa yang perlu diperjelaskan sekarang ini ialah, pilihan raya
ini telah dicuri melalui proses penipuan. Kerana mengikut proses yang
biasa dan yang adil, kita sudah menang. Hampir mustahil (kalah) kalau
dilihat dari sambutan yang ada.
Beliau yakin bahawa kemenangan
pilihan raya kali ini telah dicuri memandangkan momentum yang berlaku
dibeberapa kawasan yang beliau kunjungi.
"Orang yang hadir
bertepuk tangan bukan dapat bayaran atau dapat BR1M. Mereka datang dan
beri sokongan dengan penuh perasaan," katanya dalam nada yang kecewa,"
katanya.
Berdasarkan sambutan kempen dan ceramah yang
dihadirinya di seluruh negara, beliau dapat gambarkan kekecewaan rakyat
dengan keputusan pilihan raya kali ini.
"Saya tahu tentang sentimen kerana saya telah berkempen dengan bersungguh-sungguh.
"Saya rasa sedih (dengan keputusan pilihan raya). Saya boleh gambarkan
kekecewaan rakyat berdasarkan ceramah yang saya pergi di seluruh
negara," katanya.
Anwar sebelum ini pernah menyuarakan hasrat
untuk meninggalkan dunia politik dan kembali mengajar sekiranya Pakatan
gagal menguasai Putrajaya.
Pada 2006, Anwar pernah menjadi pensyarah jemputan di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.
Dengan memakai baju kemeja hitam berbunga putih dan kot, Anwar mengakui
bahawa beliau sangat menghargai masa bersama keluarga semasa beliau
mengajar di Amerika Syarikat.
"Apabila saya mengajar di
Amerika Syarikat, mereka (keluarga) adalah masa yang terbaik untuk saya
bersama Wan Azizah (Wan Ismail) dan keluarga," katanya.
Dalam
temubual itu lagi, Anwar yang kelihatan letih juga berkata PKR mungkin
akan mengemukakan petisyen pilihan raya berdasarkan keputusan yang
mencurigakan di beberapa kerusi.
Katanya, beliau percaya calon
PKR di kerusi Beaufort Datuk Lajim Ukin tewas akibat terdapat sogokan
terhadap pengundi di kawasan itu.
"Saya telah tegaskan ada isu
kesahihan dalam keputusan pilihan raya. Terdapat bukti penipuan yang
jelas. Terdapat kawasan-kawasan yang kita ada bukti. Kita tidak akan
menerima keputusan ini. Kita akan berbuat sesuatu.
"Saya tak
percaya Lajim kalah. Tetapi saya faham tentang Wilfred Bumburing
(Tuaran) yang terdapat perselisihan isu dalaman. Lajim saya percaya ada
sogokan dan kami akan terus mengkaji tentang perkara itu dan akan lihat
sama ada ada keperluan untuk memfailkan petisyen.
"Kita tidak
boleh terima proses ini. Penipuan dah begitu berleluasa. Mungkin salah
satu pilihan raya yang paling teruk pernah kita jalankan," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan