Saya(cikgu) mengajar di sekolah rendah di
tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah
seorang murid saya setiap hari datang
lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya
bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih
bersabar dengan keadaan pakainnya
tetapi kesabaran saya
tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya
saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa
berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya
memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang
lambat keesokannya.
Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji
saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan
punggungnya untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata
dari mulutnya.
Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya
memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap
lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya.
Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di
sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan
rumahnya sangat daif.
Saya nampak murid saya itu sedang berdiri
di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin
ibunya juga kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak
lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil
berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan
kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas
memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari
ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh
penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula
tergenang. "Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan
memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju
tadi?" Dia terkejut dan wajahnya berubah. "Itu abang saya. Kami kongsi
baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang
ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya "Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan
kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?" " Mak pesan, jangan
meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang.
Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu." Sambil menahan
airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu,
......." Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba
membantunya setakat yang mampu.
Dipetik dari pengalaman seorang
guru yang dedikasi. Sedih kan cerita neh? Bersyukurlah sebab kita
dilahirkan dalam keadaan keluarga yang serba ada. Alhamdulillah :'(
[admin ayna]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan