Setelah pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan penyebaran agama Islam menemui kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap Rasulullah S.A.W. Kebencian Abu Jahal ini tidak ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah S.A.W.
Melihatkan agama Islam semakin
tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan,
"Hai kaumku! Janganlah sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran
barunya dengan sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek
moyang kita, dia mencela tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku berjanji
kepada kamu sekalian, bahawa esok aku akan membawa batu ke Masjidil Haram untuk
dibalingkan ke kepala Muhammad ketika dia sujud. Selepas itu, terserahlah
kepada kamu semua samada mahu menyerahkan aku kepada keluarganya atau kamu
membela aku dari ancaman kaum kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim
bertindak apa yang mereka sukai."
Tatkala mendengar jaminan
daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu berkata
secara serentak kepadanya, "Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali
menyerahkan engkau kepada keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."
Orang ramai yang menghadiri
perhimpunan itu merasa bangga mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal
bahawa dia akan menghapuskan Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya
menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W bererti akan terhapuslah segala keresahan dan
kesusahan mereka selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah S.A.W
menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.
Dalam pada itu, terdapat juga
para hadirin di situ telah mengira-ngira perbelanjaan untuk mengadakan pesta
sekiranya Nabi Muhammad S.A.W berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah
mudah untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa
serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali membiarkan
kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.
Dengan perasaan bangga, keesokan
harinya di sebelah pagi, Abu Jahal pun terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa
Nabi Muhammad S.A.W bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria,
dia berjalan dengan membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh
beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak kawan-kawannya
ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan menghempapkan batu itu di atas
kepala Nabi Muhammad S.A.W.
Sepanjang perjalanan itu dia
membayangkan bagaimana keadaan Nabi Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak
oleh batu itu. Dia tersenyum sendirian apabila membayangkan kepala Nabi
Muhammad S.A.W pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana
kaum QUraisy akanmenyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh
musuh nombor satu mereka.
Sebaik sahaja Abu Jahal tiba di
perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya Rasulullah S.A.W baru sahaja sampai dan
hendak mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad S.A.W tidak
menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ. Baginda tidak
pernah terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada
hari itu.
Sebaik-baik sahaja Abu Jahal
melihat Rasulullah S.A.W telah mula bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan
dari arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad S.A.W. Abu Jahal melangkah
dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut disedari oleh baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal
memerhatikan dengan perasaan cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata,
"Kali ini akan musnahlah engkau hai Muhammad."
Sebaik sahaja Abu Jahal hendak
menghampiri Nabi Muhammad S.A.W dan menghayun batu yang dipegangnya itu,
tiba-tiba secepat kilat dia berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga
jatuh ke tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah
tiada berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi
Muhammad S.A.W terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.
Kaki Abu Jahal seolah-olah
terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan kaki walaupun setapak. Melihatkan
keadaan itu, rakan-rakannya segera menarik Abu Jahal dari situ sebelum disedari
oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan kejadian yang dialaminya.
Sebaik sahaja dia sedar dari
kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya tidak sabar untuk mengetahui apakah
sebenarnya yang telah berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah sebenarnya yang
terjadi kepada engkau, Abu Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu
ke kepala Muhammad ketika dia sedang sujud tadi?"
Akan tetapi Abu Jahal tetap
membisu, rakan-rakannya semakin kehairanan. Abu Jahal yang mereka kenali selama
ini seorang yang lantang berpidato dan menyumpah seranah Nabi S.A.W, tiba-tiba
sahaja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal masih
terbayang-bayang akan kejadian yang baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak
percaya dengan apa yang dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara
yang sama akan berulang menimpa dirinya.
Perkara yang sama pernah menimpa
Abu Jahal sewaktu Rasulullah S.A.W pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang
Nasrani mengadu kepada baginda bahawa Abu Jahal telah merampas hartanya. Pada
masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia
terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah S.A.W.
Kemudian setelah habis mereka
menghujani Abu Jahal dengan pelbagai soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara,
"Wahai sahabatku! Untuk pengetahuan kamu semua, sebaik sahaja aku
menghampiri Muhammad hendak menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul
seekor unta yang besar hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum
pernah melihat unta yang sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan
niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku
berundur dan membatalkan niatku."
Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat
kecewa mendengar penjelasan itu, mereka tidak menyangka orang yang selama ini
gagah dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad S.A.W hanya tinggal kata-kata
sahaja. Orang yang selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W
dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti tin kosong sahaja.
Setelah mendengar penjelasan dari
Abu Jahal yang tidak memuaskan hati itu, maka mereka pun berkata kepada Abu
Jahal dengan perasaan kehairanan, "Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri
Muhammad tadi, kami memerhatikan engkau dari jauh tetapi kami tidak nampak akan
unta yang engkau katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak."
Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi
dengan segala keterangan yang diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu
Jahal sentiasa mereka-reka cerita yang karut itu, mereka mula hilang
kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak
berapa endahkan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan